Rancak sungguh
perbualan di group whatapps Tautan Kasih Silaturrahim yang di bawah kendalian saudara
Azmi Bin Daud selaku Group Admin. Berjela-jela panjangnya hatta tidak sempat
untuk dibaca keseluruhannya. Meriah molek!
Pelbagai perkara
yang dibincangkan dalam group whatapps kekeluargaan itu. Di situ, semuanya
terdiri daripada anak-beranak Tok Deris, terutamanya cucu-cicit, sepupu-sepapat
dan banyak lagi yang berhubung kait dengan Keluarga Besar Arwah Tok Deris.
Group whatapps
Tautan Kasih Silaturrahim menjadi wasilah yang penting bagi merapatkan hubungan
kekeluargaan sesama waris-waroh arwah Tok Deris. Di situ, semua ahli group
saling dapat berkenalan sesama ahli selain dapat berkongsi maklumat tentang
keluarga masing-masing.
Tidak dapat
dinafikan, masih ramai dalam kalangan kita tidak mengenali antara satu sama
lain. Maklumlah, waris-waras Tok Deris semuanya bertebaran di seluruh negara
dan jarang pula dapat berjumpa mata. Tak kenal maka tak cinta. Kalau berjumpa
pun susah hendak bertegur sapa.
Saat yang paling sesuai
untuk berkenalan hanya tiba dua kali setiap tahun iaitu Hari Raya Aidil Fitri
dan Hari Raya Aidil Adha di mana pada masa inilah kita saling ziarah-menziarahi
antara satu sama lain.
Selainnya, jika
adapun ketika majlis kenduri kesyukuran dan jika berlaku kematian sahaja kita dapat
berkumpul beramai-ramai walaupun tidak semua yang dapat bersama-sama.
Realisasikan
pepatah air yang dicincang tidak akan putus agar kita kembali seperti aur
dengan tebing. Meskipun jika ada tercetus perkelahian ingat dan renungkanlah
kembali pepatah carik-carik bulu ayam, pasti akan bercantum jua.
Justeru itu, kita
mengharapkan sesuatu dapat dijana, difikir dan dibincangkan sesama kita bagi
mengumpul secara besar-besaran keturunan Arwah Tok Deris dengan menetapkan satu
aktiviti seperti Hari Keluarga bagi mempereratkan lagi hubungan silaturrahim
sesama kita.
Hendak seribu
daya, tak hendak seribu dalih! Itulah pepatah yang paling sesuai bagi kita
dalam merangka satu perjumpaan keluarga besar buat kali pertama.
Kita mengharapkan
agar impian untuk mengadakan Hari Keluarga Tok Deris akan menjadi satu
kenyataan pada satu hari nanti. Justeru itu, satu langkah yang proaktif mesti
digerakkan segera bagi mencapai tujuan tersebut.
Jika tidak
keberatan, buatlah perjumpaan bersama wakil setiap keluarga anak Tok Deris yang
mungkin melibatkan cucu generasi pertama bagi membincangkan dan merangka program
secara lebih sistematik dengan menubuhkan jawatankuasa kerja sebagai penggerak
utama program Hari Keluarga Tok Deris.
Sesungguhnya
setiap sesuatu aktiviti perlu dibincangkan bersama kerana bermesyuarat itu
adalah langkah yang terbaik bagi menjayakan sesuatu program lebih-lebih lagi
dalam kerangka yang besar dan melibatkan ramai pihak.
Sekalipun program
buat pertama kali tidak mampu mengumpulkan ramai pihak, sekurang-kurangnya
ianya mampu menjadi pencetus kepada program untuk kali yang seterusnya. Tidak
mustahil jika berjaya dianjurkan, ianya akan menjadi satu aktiviti tahunan
ataupun dwitahunan keluarga arwah Tok Deris. Ingatlah tanpa yang pertama mana
mungkin ada yang kedua dan seterusnya!
Bingkisan ini,
sengaja dicoretkan di laman blog Anak Beranak Tok Deris bagi tatapan semua pihak
agar kita membuka mata dan fikiran kita sekaligus dapat bersatu padu dan
berkerjasama dalam menganjurkan apa-apa program berbentuk kekeluargaan.
Insya-Allah, kita
sumbangkan sesuatu untuk manfaat bersama. Sedangkan menghubungkan silaturrahim
adalah wajib ke atas diri kita tidak mengenal bangsa, warna kulit, fahaman
politik dan lain-lain lagi asalkan dalam satu akidah yang sama yakni beriman
dengan Allah s.w.t.. Itulah erti persaudaraan dalam Islam!.
Jom kumpul
ramai-ramai sekali puak-puak kita...!
Sekian.