Saturday 13 December 2014

Tautan Kasih Silaturrahim..


Rancak sungguh perbualan di group whatapps Tautan Kasih Silaturrahim yang di bawah kendalian saudara Azmi Bin Daud selaku Group Admin. Berjela-jela panjangnya hatta tidak sempat untuk dibaca keseluruhannya. Meriah molek!

Pelbagai perkara yang dibincangkan dalam group whatapps kekeluargaan itu. Di situ, semuanya terdiri daripada anak-beranak Tok Deris, terutamanya cucu-cicit, sepupu-sepapat dan banyak lagi yang berhubung kait dengan Keluarga Besar Arwah Tok Deris.

Group whatapps Tautan Kasih Silaturrahim menjadi wasilah yang penting bagi merapatkan hubungan kekeluargaan sesama waris-waroh arwah Tok Deris. Di situ, semua ahli group saling dapat berkenalan sesama ahli selain dapat berkongsi maklumat tentang keluarga masing-masing.

Tidak dapat dinafikan, masih ramai dalam kalangan kita tidak mengenali antara satu sama lain. Maklumlah, waris-waras Tok Deris semuanya bertebaran di seluruh negara dan jarang pula dapat berjumpa mata. Tak kenal maka tak cinta. Kalau berjumpa pun susah hendak bertegur sapa.

Saat yang paling sesuai untuk berkenalan hanya tiba dua kali setiap tahun iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha di mana pada masa inilah kita saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain.

Selainnya, jika adapun ketika majlis kenduri kesyukuran dan jika berlaku kematian sahaja kita dapat berkumpul beramai-ramai walaupun tidak semua yang dapat bersama-sama.

Realisasikan pepatah air yang dicincang tidak akan putus agar kita kembali seperti aur dengan tebing. Meskipun jika ada tercetus perkelahian ingat dan renungkanlah kembali pepatah carik-carik bulu ayam, pasti akan bercantum jua.

Justeru itu, kita mengharapkan sesuatu dapat dijana, difikir dan dibincangkan sesama kita bagi mengumpul secara besar-besaran keturunan Arwah Tok Deris dengan menetapkan satu aktiviti seperti Hari Keluarga bagi mempereratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih! Itulah pepatah yang paling sesuai bagi kita dalam merangka satu perjumpaan keluarga besar buat kali pertama.

Kita mengharapkan agar impian untuk mengadakan Hari Keluarga Tok Deris akan menjadi satu kenyataan pada satu hari nanti. Justeru itu, satu langkah yang proaktif mesti digerakkan segera bagi mencapai tujuan tersebut.

Jika tidak keberatan, buatlah perjumpaan bersama wakil setiap keluarga anak Tok Deris yang mungkin melibatkan cucu generasi pertama bagi membincangkan dan merangka program secara lebih sistematik dengan menubuhkan jawatankuasa kerja sebagai penggerak utama program Hari Keluarga Tok Deris.

Sesungguhnya setiap sesuatu aktiviti perlu dibincangkan bersama kerana bermesyuarat itu adalah langkah yang terbaik bagi menjayakan sesuatu program lebih-lebih lagi dalam kerangka yang besar dan melibatkan ramai pihak.

Sekalipun program buat pertama kali tidak mampu mengumpulkan ramai pihak, sekurang-kurangnya ianya mampu menjadi pencetus kepada program untuk kali yang seterusnya. Tidak mustahil jika berjaya dianjurkan, ianya akan menjadi satu aktiviti tahunan ataupun dwitahunan keluarga arwah Tok Deris. Ingatlah tanpa yang pertama mana mungkin ada yang kedua dan seterusnya!

Bingkisan ini, sengaja dicoretkan di laman blog Anak Beranak Tok Deris bagi tatapan semua pihak agar kita membuka mata dan fikiran kita sekaligus dapat bersatu padu dan berkerjasama dalam menganjurkan apa-apa program berbentuk kekeluargaan.

Insya-Allah, kita sumbangkan sesuatu untuk manfaat bersama. Sedangkan menghubungkan silaturrahim adalah wajib ke atas diri kita tidak mengenal bangsa, warna kulit, fahaman politik dan lain-lain lagi asalkan dalam satu akidah yang sama yakni beriman dengan Allah s.w.t.. Itulah erti persaudaraan dalam Islam!.

Jom kumpul ramai-ramai sekali puak-puak kita...!

Sekian.

1 comment:

  1. Hebat Hebat...minta dinyatakan akan empunya tulisan kemah ni..

    ReplyDelete